|
Pergelangan tangan Alya digenggam erat, lalu ditarik ke arah meja yang diduduki oleh Fakhrur. Setibanya mereka berdua di belakang Fakhrur, Humaira' berdehem perlahan untuk memaklumkan kepada pemuda itu akan kehadiran mereka.
Fakhrur segera menoleh ke belakang. Sebuah senyuman tertampal di wajahnya. Dia berdiri, lalu mempelawa Humaira' dan Alya duduk bertentangan dengannya. Sebenarnya Humaira' sengaja mengajak Alya bersama untuk bertemu Fakhrur pagi itu, memandangkan dia telah pun menceritakan tentang risikan pemuda itu kepada Alya tempoh hari. Lagipun, takkanlah dia hendak bertemu dengan Fakhrur berdua-duaan kot! Silap hari bulan pada masa itu juga dia boleh kena strok! Ketiga-tiga manusia itu masih membatu sedari tadi. Mulut Alya juga tidak bising seperti selalu. Apabila hal seperti ini melibatkan rakannya, dia jadi insaf. Kini, dia tidak lagi suka bergosip tentang hubungan orang lain. Melihatkan keadaan hening itu, Alya cuba memulakan kata. "Sorry kitorang lewat sikit. Sebenarnya... Kitorang ajak abang Fakhrur jumpa ni sebab Humaira' ada benda sikit nak bincang," 'Abang Fakhrur'. Sebenarnya sudah semalaman Humaira' dan Alya memikirkan panggilan yang sesuai kepada pemuda itu. Hendak panggil 'awak' , Humaira' berasa tidak selesa kerana rasa hormat yang menggunung terhadap Fakhrur. Ya, sebetulnya Humaira' terlalu menghormati Fakhrur sebagaimana seorang adik menghormati abangnya. Mata Alya mengerling ke arah Humaira'. Melihatkan masih tiada gerak balas dari rakannya itu, segera kaki kirinya menguis kaki kanan Humaira' yang berada di sisinya. Humaira' angkat kepala. Helaan nafasnya kedengaran begitu berat. Tangannya digenggam erat, lalu mulutnya dipaksa untuk tersenyum kepada pemuda yang duduk bertentangan dengan Alya itu. "Saya harap abang takkan ambil hati dengan apa yang saya akan beritahu ni," Humaira' akhirnya membuka mulut. Sesudah beberapa kali dia mendirikan solat Istikharah, hatinya menjadi tekad. Keputusannya sudah bulat. Jawapan yang diterima setiap kali selepas solat membuatkannya yakin dengan pilihannya itu. Nafasnya ditarik dalam-dalam, dengan harapan oksigen yang masuk ke dalam paru-parunya dapat membantu meluahkan segala apa yang tersirat dihatinya. "Saya tahu abang berniat baik. Abang ikhlas. Tapi... Saya tak boleh, bang. Saya tak tahu kenapa. Saya dah cuba, tapi saya tak boleh, bang..." bersungguh-sungguh dia menerangkan kepada Fakhrur sambil tidak berhenti menggeleng-gelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Alya disebelahnya sudah terlopong. Mana pergi ayat yang dia susun kemas-kemas semalam? Siap hafal sampai cair lagi! Bila Fakhrur dah ada depan mata, ayat berterabur macam itu juga yang terkeluar! Humaira'... Humaira'... Alya tahu benar akan kelemahan rakannya itu. Langsung tidak tahu berlakon! Hanya tahu hafal skrip sahaja. Melihatkan keadaan Humaira' yang gelabah itu, terasa ringan sahaja tangan Alya untuk menepuk dahi gadis itu pada saat itu juga. Walaupun butir bicara Humaira' tidak berapa jelas, Fakhrur tetap dapat menangkap maksud yang ingin disampaikannya. Malah, perkara ini sudah dijangka olehnya sebelum ini. Namun, kenapa ia terasa lebih pedih apabila mengetahui ramalannya itu menjadi satu realiti? Bukankah selama ini dia sudah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai kemungkinan dan risiko. Sungguh, dia cuma manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Mahu menyayangi dan disayangi. Tapi... "Abang? Abang okey ke?" soal Alya setelah melihat kerutan di wajah Fakhrur tidak menghilang sejak tadi. Riak wajah pemuda itu kelihatan cuba dikawal. Fakhrur tidak mahu Humaira' berasa serba salah dengannya. Sehabis mungkin dia cuba melemparkan senyuman plastik ke arah Humaira' yang tidak senang duduk itu. "Okey. Saya okey," Cawan teh susu disuakan ke bibirnya. Dia cuba berlagak tenang. Namun, gelora dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Teh yang dihirup terasa pahit di tekak. Sepahit kopi tanpa gula. "Abang, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak ada maksud nak lukakan hati sesiapa," Humaira' masih berasa bersalah kerana terpaksa menyakiti hati seorang lelaki yang amat tulus mencintainya. Air liurnya terasa seakan-akan terlekat di kerongkong. "Saya doakan suatu hari nanti abang akan bertemu dengan..." belum sempat Humaira' menghabiskan kata-katanya, Fakhrur bangun dari duduk. Sekeping not 50 diletakkan di atas meja. "Order lah. Hari ni, saya belanja," ujarnya sambil tersenyum kelat. "Saya mintak diri dulu. Assalamualaikum," Sebaik sahaja memboloskan diri ke dalam Honda Accordnya, Fakhrur memecut laju meninggalkan restoran di pinggir jalan itu. Bukan niatnya mahu berlaku tidak sopan, tetapi dia sudah tidak dapat menahan permata jernih yang seakan-akan berlumba untuk keluar dari tubir matanya sedari tadi. Akhirnya, pagi itu dia memandu pulang ke rumah dengan pandangan yang berbalam-balam.
---------------------------------------------
Alya menggenggam erat tangan Humaira' sambil merenung ke dalam mata sahabatnya itu. Kelihatan jelas pandangan serba salah dari anak mata itu. "Alya..." seru Humaira' dalam nada sayu. Kolam air matanya sudah penuh, menunggu masa untuk dipam keluar. Belakang badan Humaira' diusap perlahan. "Kau tak salah... Tak ada siapa yang salah dalam hal ni. Dahlah tu," pujuk Alya. Hatinya turut terusik dengan kejadian sebentar tadi. Dia berasa kasihan terhadap Humaira'. Pada masa yang sama, dia turut bersimpati dengan Fakhrur. Dia juga tahu, perasaan apabila bertepuk sebelah tangan memang terlalu menyakitkan.
--------------------------------------------
Ku pendamkan perasaan ini ku rahsiakan rasa hati ini melindungkan kasih yang berputik tersembunyi di dasar hati "Wah... Layan nashid jiwang nampak!" sergah Sarah yang baru sahaja memasuki kamar Humaira' yang tidak berkunci itu. Dia duduk di birai katil sambil tersengih. Dengan segera Humaira' mematikan lagu nashid 'Hanya Tuhan yang Tahu' dendangan kumpulan UNIC di telefon bimbitnya. Hish... Kacau daun betul la Sarah ni! "Kenapa? Tak salah pun kan..." Humaira' angkat kening dengan sarkastik. "Bukan macam orang tu... Tipu kawan dia hidup-hidup! Konon sahabat sampai syurga. Tapi hal besar macam tu pun dia nak berahsia," Bidas Humaira' lagi dalam nada gurauan. Memang pada mulanya dia amat kesal dan marah apabila mengetahui akan hubungan Sarah dan Irham. Malah, alasan yang diberikan oleh Sarah lebih menaikkan suhu badannya. Katanya, dia tidak mahu menghebohkan perkara ini kerana tidak mahu menerima nasib seperti abangnya yang selalu diberi perhatian dimana sahaja dia berada. Sarah hanya mahu hidup tenang seperti rakan-rakannya yang lain, tanpa gangguan dari manusia berhati busuk dan suka mengambil kesempatan. Alasan ini membuatkan Humaira' dan Alya berasa terhina kerana Sarah seolah-olah menganggap jika mereka tahu akan rahsia ini, mereka pasti akan mengambil kesempatan ke atas Sarah. Padahal mereka selama ini tulus bersahabat dengannya. Bukan kerana harta mahupun keturunannya. "Laaa... Semalam kau cakap dah maafkan aku? Tak baik menipu tau," balas Sarah sambil menyiku lengan Humaira'. "Just kidding la.Mana ada aku tipu. Aku dah maafkan kau pun," sebuah senyuman pahit dilemparkan ke arah sahabatnya itu. "Kau...masih fikir pasal pagi tadi tu ke?" pantas sekali Sarah membaca fikiran Humaira'. Humaira' hanya mengangguk lesu sebagai jawapan. "Nak buat macamana. Dah tak ada jodoh," Pujuk Sarah. Bahu Humaira' ditepuk lembut. "Tapi kan, aku sebenarnya kesian jugak kat dia. Ye la, bukan main lagi dia suruh kawan dia tu mintak alamat rumah kau dengan aku. Kawan dia pulak siap merayu bagai dengan aku masa tu. Habis keluar segala macam ayat manis dia," Sarah bercerita kepada Humaira' dengan nada ceria tanpa menyedari bahawa sahabatnya itu sedang memandangnya dengan mata membutang. "Kau cakap apa tadi, Sarah?" Humaira' mengangkat kedua-dua tangannya, lalu diletakkan di leher Sarah. "Kau yang bagi alamat rumah aku kat dia? Baik kau cakap betul-betul, sebelum aku cekik-cekik kau kat sini!" Mata Humaira' mencerlung ke arah Sarah yang sedang terkumat-kamit. "Habis tu? Dia yang mintak. Aku bagi aje la. Tak salah kan membantu orang yang dalam 'kesusahan'?" Jawab Sarah agak terketar-ketar, tapi masih sempat meloyar buruk. Tanpa menunggu walau sesaat pun lagi, Humaira' terus merebahkan badan Sarah ke tilam lalu mencekik lehernya. Seketika, ruang kamar itu dipenuhi hilai tawa Sarah yang sangat nyaring. BerSamBunG...
untuk baca part-part lain dalam cerpen ni, boleh klik >>SINI<< ..
Dikarang oleh: IsyaPurple |