|
"Kau biar betul, Ira?!" suara Alya keras dan nyaring sekali. "Jangan main-main wey..."
"Mana ada aku main-main. Betul la. Korang ni... Tadi beria tanya aku. Bila aku cakap, korang tak percaya pulak," muncung mulut Humaira' ditarik sejengkal. "Bukan kitorang tak percaya, tapi..." "So, pasal tu la kau nampak macam orang tak siuman 2,3 hari ni? Kejap senyum sorang-sorang, kejap naik angin, kejap moody tak tentu pasal," belum sempat Alya menghabiskan ayatnya tadi, Sarah sudah menyampuk panjang lebar. Dia kemudiannya merengus kasar. Humaira' pula tayang sengih minta ampun. "Aku bukan apa, aku rasa serba salah la.. Disebabkan aku, Irham gaduh dengan makwe dia. Tapi at the same time, aku rasa happy plus pelik bila dengar mamat tu defend aku depan makwe dia," Senyuman Humaira' semakin melebar ketika Alya tiba-tiba memegang kedua-dua belah bahunya lalu digoncang sekuat hati. "Ira!!! Wake up! Kau sekarang ni tengah bermain dengan 'api', tau tak! Bukan api kecil, tapi api besar!"
"Apahal pulak? Bukan aku yang sengaja menggatal dengan mamat tu. Bukan aku yang suruh dia gaduh dengan makwe dia tu," balas Humaira' lagi. Dia tidak mahu dipersalahkan. Bukan dia yang cari pasal!
"So, sekarang ni kau dah ada dua orang pakwe la ye?" kata-kata Sarah itu menarik perhatian Humaira' dan Alya. Seketika, empat pasang mata memerhati Sarah dengan wajah penuh tanda tanya. "Dua?" soal Humaira'. Sarah angguk perlahan. "Sape?" Alya menambah perasa. "Fakhrur," dengan riak wajah selamba Sarah menjawab. "Hah?!" Serentak pula, Humaira' dan Alya menjerit kecil.
--------------------------------
"Fakhrur bersin tidak semena-mena. Bagaikan tahu soal dirinya sedang dibicarakan oleh tiga orang gadis pada waktu itu. Dia menggosok perlahan hidungnya.
"Haih... Takde habuk, takde selsema, tiba-tiba je kau bersin? Ada orang tengah mengumpat pasal kau kot..." Syakir sengih. Fakhrur senyum meleret. "Pandai la kau," Sesaat kemudian, matanya menangkap kelibat dua orang gadis yang sedang rancak berbual melangkahkan kaki ke dalam gelanggang bersebelahan gelanggang yang digunakannya sebentar tadi. Seorang gadis yang lebih tinggi kelihatan anggun dengan tudung bidang 60 berwarna ungu lembut, baju muslimah paras lutut, dan seluar track hitam. Seorang gadis lagi pula yang memakai tudung Ariani paras dada, T-shirt lengan panjang, dan seluar track langsung tidak menarik perhatian Fakhrur. Matanya tertumpu hanya pada gadis bertudung ungu itu. Gadis yang bernama Nisaa Humaira' binti Ismail.
------------------------------
Senyuman Sarah melebar. Melihatkan pemuda tampan yang sedang tersenyum manis ke arahnya dan Humaira'. Tapi... Kejap! Lelaki itu senyum kepadanya atau kepada Humaira'? Ah... Tak kisahlah! Janji dia senyum. Bulu tangkis dipukul perlahan oleh Humaira' sekadar melayang sejengkal dari jaring, namun tidak sempat dicapai oleh raket Sarah. Mustahil! Pemain badminton tegar seperti Sarah tidak dapat menyambut bulu tangkis serendah itu? 'There's something not right here...' bisik hati kecil Humaira'. Melihatkan arah anak mata Sarah, dia segera memusingkan kepalanya 180 darjah ikut arah jam. Tanpa dia duga, perbuatannya itu telah mempertemukan matanya dengan mata Fakhrur. Fakhrur yang baru diperkatakan olehnya dan rakan-rakannya ketika dalam perjalanan ke sini tadi. Fakhrur, lelaki yang diperkenalkan oleh Sarah kepadanya tadi.
Dia tidak pernah menyangka, Sarah akan bertindak membaca nama yang tertera pada kad yang tergantung di leher Fakhrur ketika pemuda itu menegur mereka gara-gara Alya yang tidak mengemaskan bajunya dengan betul. Sedangkan Humaira' yang telah terjumpa dengannya dua kali tidak pernah berniat mahu bertanya namanya. Begitu sukakah Sarah dengan pemuda itu?
Dengan segera, dia memalingkan wajahnya semula lalu melihat Sarah yang dari tadi tersenyum simpul ke arah Fakhrur. Dia melepaskan keluhan berat. Aduh... Cinta tiga segi kah ini?
------------------------------------
Syakir yang sedang meneliti raket badminton berwarna biru lautnya mendongak ke arah Fakhrur dan kemudiannya mengarahkan matanya ke arah Humaira' dan Sarah.
"Oh... Tu ke wanita idaman kau, Rul?" "Hah? Apa? Mana?" Fakhrur gelabah. Senyum di bibir Syakir mula melebar melihat kekalutan rakannya itu. Suka benar dia mengenakan sahabatnya yang seorang itu. "Tu... Kan? Yang tengah senyum kat kau tu?" Syakir memuncungkan bibirnya ke arah Sarah. Fakhrur melihat kembali ke arah gelanggang badminton tadi. Baru dia sedar bahawa Sarah dari tadi lagi sedang tersenyum ke arahnya. "Ish! Apa pulak!" bisik Fakhrur keras. "Tu kawan dia la... Wanita idaman aku, yang pakai tudung purple tu," "Laa... Habis tu, kau senyum kat sape tadi? Dia tak tengok kat kau pun? Yang aku nampak, kawan dia tu yang beria senyum kat kau," Fakhrur terdiam. Lidahnya kelu. 'Aduh... Aku senyum kat orang lain, orang lain pulak yang balas," gumam hati kecilnya.
"Dah tahap angau dah kawan aku sorang ni..." Syakir menggeleng perlahan kepalanya.
---------------------------------
Kereta Myvi Sarah dipandu perlahan. Meskipun jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, jalan yang dilalui oleh mereka masih tidak sepi. Malah, semakin banyak kereta berebut-rebut mahu memotong antara satu sama lain. Suasana di gerai-gerai makan juga masih meriah. Pada awalnya, Humaira' menyangka bermain badminton pada malam ini pasti menyeronokkan kerana dia tidak pernah menjejakkan kaki di gelanggang pada waktu malam. Namun, dia tidak pernah terfikir akan bertemu dengan Fakhrur sehingga membuatkannya serik malah bersumpah tidak mahu lagi bermain badminton pada waktu malam. Haa.. Nak sangat main badminton malam-malam kan. Pergilah lagi lain kali. Marahnya kepada diri sendiri.
"Ira!"
Bagaikan mahu luruh jantung Humaira' dek teriakan Alya itu. "Lain kali panggil pelan-pelan boleh tak, cik adik sayaaang...?" Bibir Humaira' diketap. Alya sengih seperti kerang busuk. "Sorry cik akak sayang... Aku bukan apa, tadi aku tengok pakwe 'ustaz' kau tu asyik tenung kau je! Kau pulak macam nak mengelak. Ada apa sebenarnya antara kau dengan dia?" Ahh.. Habislah kau Humaira'.. Alya sudah mula nak lancarkan perang bom nuklear lagi. Apa kau nak buat hah? "Er... Mana ada apa-apa. Mana ada aku mengelak. Mana ada dia tengok aku!" Jawab Humaira' dengan nada tegas. Namun, Alya sudah masak dengan perangai rakannya itu. Apabila Humaira' sudah mula meggunakan gaya bahasa Anafora dalam ayatnya, dia tahu pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
"Ira..." panggil Alya lagi. Tapi kali ini dengan nada seperti mengugut dan meminta kepastian. Malam ini, dia mahu korek segalanya dari Humaira'!
Tiba-tiba sahaja Sarah memarkir Myvinya di bahu jalan, berhadapan sebuah restoran 24 jam. Matanya mencerlung ke arah Humaira'. Ternyata Sarah juga sudah mula cuba untuk menggali kotak fikirannya. Humaira' memandang Alya di tempat duduk belakang, lalu mengarahkan pandangannya ke arah Sarah di sebelahnya dengan muka minta simpati. "Aku takkan hidupkan kereta ni sampai kau ceritakan semuanya pada kitorang," Kata-kata Sarah itu menaikkan seri di wajah Alya, tapi mengundang duka kepada Humaira'. Perlahan-lahan, Humaira' menarik nafas. Dalam-dalam. Lalu melepaskannya dengan berat sekali. Malam itu, dia harus singkap kembali pengalaman peritnya. Satu-persatu dia harus buka bungkusan memori yang hampir dipadamnya. Dari saat dia dipermalukan oleh Irham di perpustakaan sehinggalah saat Irham menghantarnya pulang ke rumah.
Tidak lupa juga waktu dia ditegur oleh Fakhrur. Malam itu, Sarah dan Alya berasa puas kerana berjaya mengorek cerita Humaira'. Humaira' sendiri lega apabila dia tidak perlu menyembunyikan apa-apa daripada sahabatnya sendiri.
----------------------------------
Langkah kaki Humaira' terhenti. Kepalanya ditundukkan, meneliti kasut sukannya yang berwarna putih dan merah jambu. Kelihatan ikatan tali kasut itu sudah teurai. Lantas Humaira' membawa diri ke sebuah bangku panjang yang terletak di tepi tasik untuk membetulkan tali kasutnya kembali. Usai membetulkan tali kasutnya, badannya ditegakkan kembali, merenung tasik dihadapan. Bangku panjang yang didudukinya itu terletak di bawah sebatang pokok rendang, membuatkannya berasa selesa menghirup oksigen setelah penat berjoging di taman itu. Malah meja juga disediakan bersama kerusi itu bagi memudahkan pengunjung membuka bekal makanan mereka. Terkadang jika Humaira' punya kelapangan, pasti dia akan cuba singgah di taman itu. Paling tidak untuk menjamu mata. Mata Humaira' masih merenung tasik dihadapan apabila dia terasa seperti ada seseorang berjalan dibelakangnya lalu melabuhkan punggung di kirinya. Segera Humaira' mengerling ke arah kirinya apabila orang itu meletakkan tangan di atas meja.
Melihatkan tangan yang bersaiz hampir dua kali ganda dari tangannya itu dan jam lelaki jenama Casio, tahulah Humaira' orang itu tidak sama jantina dengannya. Tidak... Itu belum cukup parah. Apa yang lebih parah lagi, ialah apabila Humaira' menjelingkan matanya ke arah muka lelaki itu, ternyata lelaki itu ialah Irham Zikri bin Dato' Zainal!
Melihatkan keadaan Irham sendiri yang tidak mempedulikannya, Humaira' segera mengalihkan pandangannya ke arah tasik semula.
Irham melepaskan keluhan panjang. Sebenarnya, dia sendiri tidak menduga bahawa perempuan yang duduk disisinya itu ialah Nisaa Humaira'. Hajat utamanya singgah di bangku itu hanyalah untuk melepaskan lelah setelah puas bersenam dari tadi, dan bangku itulah yang berada paling dekat dengan kedudukannya. Irham menyilangkan jari-jari tangannya yang diletakkan diatas meja.
Dia termenung buat kesekian kalinya. Dia sangka, beriadah di taman ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapinya, tetapi sejak dari tadi, dia tidak henti-henti memikirkan ugutan ayahnya untuk menghantarnya belajar di luar negara. Buntu. Matanya dipejam rapat. Dia tidak sanggup meninggalkan Malaysia, apatah lagi meninggalkan Humaira', gadis yang mula disayanginya. Buat beberapa ketika, dia bermonolog sendiri dalam hati.
Perasaan Humaira' sebentar tadi yang setenang tasik dihadapannya, sudah kembali bergelojak. Kehadiran Irham mengganggu jiwanya lagi. Mungkin inilah yang selalu dikatakan orang, tasik yang tenang jangan disangka tiada buaya. Tu kan dah datang 'buaya' seorang...
Keluhan berat Irham membuatkannya mengerling lagi ke arah tangan Irham di atas meja. Kelihatan garis-garis ruas pada jarinya seperti kehitam-hitaman. Daripada pembacaannya, dia tahu Irham sedang mengalami tekanan yang bukan sedikit. Namun, masing-masing masih membatu. "Humaira'. Nama kau Humaira', kan?" Irham memulakan bicara secara tiba-tiba, membuatkan Humaira' sedikit tersentak. Mata jejaka itu masih tertancap pada air tasik dihadapannya. "Ya, saya," jawab Humaira' agak tersekat. Sudah itu, formal macam dalam rancangan forum! "Agak-agak la kan... Apa yang kau akan buat bila ada orang suruh kau buat benda yang kau taknak buat?" panjang benar soalan Irham kepada Humaira', sehingga membuatkan gadis itu terdiam sejenak. Humaira' mengerutkan keningnya, cuba memikirkan makna disebalik pertanyaan itu. "Contohnya macam... Masa aku suruh kau taip balik assignment aku tu? Macam tu ke?" tebak Humaira'. "Hah?" Irham terkedu sebentar. Agak terkejut apabila kejadian itu diungkit kembali. "Em. Lebih kurang la..." sambungnya lagi dengan suara mendatar dan muka yang serba salah. "So, masa tu apa yang kau buat?" giliran Humaira' pula untuk menyoal. "Aku buatlah apa yang kau suruh tu," "Kenapa?" "Sebab... Er... Sebab..." sungguh, Irham sendiri tidak tahu mengapa dia sanggup menurut permintaan Humaira' yang satu itu. "Sebab?" "Mungkin sebab aku rasa aku yang bersalah dan aku perlu baiki kesalahan aku tu," Irham terdiam sebentar, lalu menyambung kembali. "Kot?"
Hmm... Lelaki dan ego. Takkan boleh dipisahkan. Sempat lagi dia tambah 'kot' di belakang ayat itu. Humaira' gelak dalam hati.
"Hmm.. Tapi aku mesti tau siapa 'orang' yang kau maksudkan tu?" "Ayah aku," Irham bersuara perlahan. "Nah... Kalau macam tu, buat je lah," balas Humaira'. "Buat apa?" Irham garu kepala yang tidak gatal. "Buat je la apa yang ayah kau suruh tu.. Selagi kita rasa yang benda tu betul dan tak melanggar perintah Allah," "tak melanggar perintah Allah?" Irham mengulang ayat Humaira'. Dia menginginkan pencerahan yang lebih jelas. "Yup! Dah jelas firman Allah dalam Al-Quranul Karim, Allah suruh kita berbuat baik dan patuh kepada ibu bapa. Tapi bukan pada perkara yang melanggar hukum syarak." Humaira' berhenti seketika. Mata Irham yang tadinya sedang memerhati air tasik sekarang sudah merenung Humaira'. Humaira' rasa tidak selesa. Cepat-cepat dia menyambung kata-katanya tadi sambil matanya merenung tasik dan meja kayu silih berganti. "Contohnya... Kalau mak kita suruh kita pergi mencuri. Memanglah kita wajib patuh pada arahan dia, tapi perintah Allah tu mesti didahulukan. Allah larang kita mencuri. So, kita tak bolehlah pergi mencuri even mak kita yang suruh..." Humaira' menghadiahkan sebuah senyuman kepada Irham. Senyuman yang datang tulus dari lubuk hatinya yang paling dalam. Mata bundarnya bertentang dengan mata redup milik Irham. Seketika, kedua-duanya hanyut dalam renungan. "Er... Faham tak?" Humaira' terlebih dahulu memalingkan wajahnya kearah tasik kembali. "Faham. Faham sangat," Mata Irham yang masih memerhatinya membuatkan Humaira' panas punggung. Duduknya sudah berasa tidak selesa seperti tadi. Dengan segera dia bangkit dari bangku panjang itu. Kakinya sudah bersedia untuk menyambung jogingnya yang tergendala sebentar tadi.
"Thanks, Humaira'! Bye. Er... Assalamualaikum?"
Salam dijawab, lalu Humaira' berjalan menjauhi bangku itu tanpa menoleh kebelakang walau sedikit. Tidak siapa tahu, saat itu hatinya sedang bertarung dengan getaran yang maha kencang. Ber sAMBung....
Untuk Senarai Penuh part2 dalam cerpen ni, klik >>SINI<<
Dikarang oleh: IsyaPurple |