Koleksi Cerpen Muslimah Purple

Cerpen Bersiri : Hey,you! Jangan Sentuh Aku! 
Part 6

Fakhrur menatap wajah mulus milik Humaira' tanpa berkelip. Humaira' pula langsung tidak sedar akan kelakuan Fakhrur itu. Andai sahaja dia tahu, sudah pasti sebuah jelingan maut akan dihadiahkannya kepada pemuda itu.

    Selang beberapa saat, Fakhrur tersedar dari lamunannya apabila terdengar jeritan kecil Humaira'. Rupa-rupanya , gelas Humaira' terjatuh ketika dia mahu mengambil buku dari dalam beg sandangnya di atas meja. Lebih parah lagi, gelas itu jatuh diatas kaki seorang lelaki yang ditakdirkan lalu di tepi meja Humaira' pada waktu itu.

    Fakhrur beristighfar berkali-kali. Wajahnya diraup. Dia sedar, perbuatannya tadi sudah melampaui batas. Dengan segera dia memalingkan kepalanya daripada meja yang diduduki Humaira'.


 ______________************_______________




    "Ya Allah...! Sorry, awak! Saya tak sengaja!" Ucap Humaira' sambil mengambil kembali gelas yang sudah berada di atas lantai.

    "Tak apa. Bukan sakit pun. Basah sikit je," balas lelaki itu, lembut. Namun, sejurus Humaira' mendengar suara itu, dia tersentak.

    'Macam pernah kudengar suara ini... Tapi di mana, ya?' Bisik hati kecil Humaira'. Dengan segera dia mendongakkan kepalanya. Wajah lelaki yang sedang berdiri dihadapannya ditatap dengan penuh teliti.



    "Laa.. Kau rupanya!" Sebaik sahaja dia mengecam muka Irham, dia terus mengubah gaya percakapannya. Suara yang begitu lembut tadi sudah berubah menjadi kasar, seperti kertas pasir.

    "Eh! aku ingat kau tak pandai cakap lembut-lembut dengan orang. Tapi asal jumpa aku je, mesti suara bangau tu yang keluar!" Irham tidak mahu kalah. Wajahnya yang tadi tersenyum manis sudah berubah menjadi kelat.

    Mulut Humaira' ternganga luas. 'Dia cakap suara aku macam bangau?!' Anak matanya berapi-api.

    "Ni, kasut aku ni. Habis basah. Kau nak ganti?"

    "Eleh... Basah sikit je kot. Masa kau kenakan aku kat library sampai aku jatuh hari tu, kau tak kira?" bidas Humaira' kembali. Keningnya dikerutkan. Namun, tidak lama. Dia kemudiannya beristighfar perlahan.

    Irham terdiam. Dia jadi serba salah. Paku buah keras telah dipulangkan kepadanya. Humaira' tidak menunggu lebih lama. Dia mengambil tisu di atas meja, lalu duduk melutut dihadapan Irham. Tangannya pantas mengelap kasut Irham yang basah.

    Irham terkedu lagi. Perasaan serba salahnya semakin bertambah. Daripada sesudu, menjadi secawan. Daripada secawan, menjadi semangkuk. Daripada semangkuk, menjadi sebelanga. Perbuatan Humaira' hanya diperhatikan begitu sahaja. Tidak menyokong, tetapi tidak juga membantah.

    "Kalau kita rasa, kita ada buat salah dengan orang lain, minta maaf je la. Tak perlu nak ungkit balik kesalahan orang tu terhadap kita," Ucap Humaira'. Perlahan dan lembut, seolah-olah berbisik kepada dirinya sendiri. Namun, kedengaran cukup jelas ditelinga Irham.

    "Sorry," sambungnya lagi. "Saya tak sengaja tumpahkan air ni. And... tak sengaja ungkit pasal hari tu,"

    Rasa sesal mula terbit di hati Irham saat Humaira' menghabiskan ayat itu. Terasa seperti ianya dapat menembusi ke segenap penjuru hatinya. Sungguh, dia terkesan. Sangat terkesan.

    Usai mengelap kasut Irham, Humaira' bangun semula dan duduk diatas kerusinya. Seleranya mati. Nasi goreng kampung dihadapannya hanya dipandang sepi. Tidak lama kemudian, dia menyimpan kembali buku-bukunya dan beredar dari kafeteria itu setelah memberi salam kepada Irham.

    Manakala Irham pula masih terkesima dengan kejadian tadi. Dia tunduk. Perlahan-perlahan, kerusi yang diduduki Humaira' sebentar tadi ditarik dan didudukinya pula. Dia termenung buat kesekian kalinya. Sesaat, bibirnya kelihatan bergerak-gerak, mengeluarkan suara bernada rendah. Hanya satu nama yang meniti di bibirnya ketika itu.

    "Humaira'. Nisaa Humaira,"



______________************_______________




    "Am! Sampai hati U buat I macam ni! Ooo.. Patutlah U taknak I teman U hari tu! Rupanya, U pergi dating dengan betina lain!" Wawa berleter panjang sejurus melihat Irham ada didepannya. Suaranya yang kedengaran seperti angsa itu membuatkan seluruh restoran dapat mendengar dengan jelas setiap butir bicaranya.

    Irham masih terkebil-kebil. Begitu juga dengan Ikmal dan Aeril. Mereka saling berpandangan sambil mengerutkan dahi masing-masing.

    "Apa yang U cakap ni,  Wawa? I tak faham la..."

    "Apa yang U tak faham? U ingat I ni bodoh ke? Ni , hah! Betina mana pulak yang U jumpa kat library ni? Siap hantar sampai depan rumah pulak tu!"

    Telefon bimbit Wawa disuakan kepada Irham. Di skrin telefon itu, kelihatan jelas gambar Irham dan Humaira' semasa mereka berjumpa di perpustakaan beberapa hari yang lepas.

    Muka Irham yang putih berubah menjadi merah. Bukan sahaja dia marah dengan kelakuan Wawa yang memalukan itu, tetapi dia juga marah dengan panggilan Wawa terhadap Humaira'.

    "Eh, U dengar sini baik-baik. U, jangan nak tuduh I yang bukan-bukan. And U, Wardatul Husna binti Dato' Hisham, kalau sekali lagi I dengar U panggil kawan I 'betina', jangan harap I nak..."

    "Nak apa?hah?" sampuk Wawa pantas. Emosinya pada waktu itu sudah memang tidak terkawal lagi.

    Irham melihat ke kiri dan kanannya. Seluruh isi restoran sedang memerhatikan mereka, membuatkan dia tidak berhasrat mahu menyambung ayatnya itu. Jari telunjuknya kemudian dihalakan ke arah muka Wawa yang semakin merah.

    "Sepatutnya U sedar Wawa. Sebenarnya, U tu yang layak dipanggil 'betina' , bukan dia!!!"

    Belum sempat Wawa menghalang Irham daripada merampas telefon bimbitnya, telefon itu sudahpun berkecai setelah dihempas ke lantai oleh Irham sendiri. Dia tekad. Dia tidak sanggup lagi dipermalukan oleh gadis seperti Wawa. Tanpa rasa bersalah, dia melangkah keluar dari restoran itu, meninggalkan Wawa yang terkebil-kebil seperti anak kecil yang baru dimarahi oleh ibunya. Ikmal dan Aeril turut menyusul Irham, seperti biasa.

    Selang beberapa saat, seorang gadis masuk ke restoran itu, lalu cuba untuk memujuk Wawa. Tangannya yang menepuk-nepuk bahu Wawa segera ditepis kasar.

    "What? Ni bukan salah aku ek.. Aku bagi information je kat kau. Memang hari tu aku dengan Nad nampak Irham dengan perempuan lain.Yang kau pergi serang Irham macam badan pencegah maksiat tu, apasal? Kan dia dah marah..." gadis itu bersuara rendah, lalu dijeling oleh Wawa dengan serta-merta.

    "Ish! Tepilah! Rimas aku!!!" Jeritan Wawa bergema diseluruh restoran.  Badan gadis itu segera ditolak kasar. Kakinya dihentak sekuat mungkin dengan tumit kasut setinggi 2 inchi, sambil menuju ke pintu masuk restoran itu. Ish... Karang kalau patah lagi, mau tersembam macam itu hari!





______________************_______________





    Humaira' termenung sendiri di meja tulis. Tangannya masih setia menongkat dagu. Sejujurnya, memang dia masih tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya sebentar tadi, sewaktu dia melalui sebatang jalan di hadapan sebuah restoran. Mulanya, dia hanya mendengar suara perempuan yang terjerit-jerit seperti kerasukan. Sangkanya, ada yang terkena histeria. Banyak la kau punya histeria! Histeria apa pagi-pagi buta macam ni Cik Humaira' oii...

    Lalu, dia segera mengambil keputusan untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejadian itu. Biasanya dia jarang mahu mengambil tahu hal orang lain. Tapi entah kenapa, kali ini dia berasa dia benar-benar perlu ambil tahu. Dan kata hatinya itu sememangnya selalu tepat.

    Sebaik sahaja dia menjengukkan kepalanya ke pintu restoran yang lutsinar itu, kelihatan Wawa sedang memarahi Irham dengan suara yang tinggi sehingga boleh didengarinya dengan jelas. Masih dia ingat akan cerita Alya padanya tentang hubungan Wawa dengan Irham. Malah, Alya memberi amaran keras kepadanya supaya tidak mendekati Irham lagi. 'So... Kalau Irham dengan Wawa ni couple... apasal Wawa nampak macam nak telan je si Irham, tu?' Hatinya meronta-ronta untuk tahu dengan lebih lanjut. Amboi... Kau pun dah jadi macam Alya dah, sekarang ni?

    Persoalan dalam hatinya tadi akhirnya menemui jawapan. Setelah mendengar penjelasan Wawa kepada Irham, dia tahu, dialah yang menjadi sebab pertengkaran itu berlaku. Perkataan 'jumpa kat library' dan 'hantar sampai depan rumah' yang keluar dari mulut Wawa sudah cukup untuk membuktikannya.

    Tapi, apa yang membuatkannya lebih kaget, ialah ucapan Irham sendiri. Tidak pernah dia duga, lelaki itu sanggup menengking Wawa sebegitu semata-mata mahu membelanya. Hatinya jadi tersentuh.

    Bantal kecil kesayangannya yang berbentuk kepala Mickey Mouse dicapai dari atas katil, lalu dipeluk erat. 'Kenapa, Irham? Kenapa buat aku rasa macam ni? Kenapa? Kenapa?! Aaargh....!'

BeRsAmBuNg...... . . . . . .
harap korang sudi komen cerpen ni..
senang je! juz tekan tulisan pepel 'post a comment' tu.!! hehe. bye!
wassalamualaikum,.
 
                                                                         Go to Part 7>>

untuk senarai penuh bab-bab dalam cerpen ni, sila klik di >SINI<

Dikarang oleh: IsyaPurple

[[maystar designs]]