Koleksi Cerpen Muslimah Purple

Cerpen Bersiri : Hey,you! Jangan Sentuh Aku! 
Part 9

Dia menapak perlahan-lahan menuruni tangga masjid. Matanya tertumpu pada sekumpulan gadis yang sedang berjalan melewati pintu pagar masjid itu. Syakir menepuk bahunya dengan tidak semena-mena.

"Enta ni dah kena sampuk pulak, ke?" soal Syakir, sinis. Sekali lagi perkataan 'enta' digunakan untuk menyindir Fakhrur agar tidak merenung gadis-gadis dihadapan mereka terlalu lama.

"Takde la... Kita kan selalu solat kat sini. Tapi aku tak pernah nampak pulak gadis-gadis 'solehah' tu sebelum ni," sengaja Fakhrur menekankan perkataan 'solehah' itu, merujuk kearah 8 orang gadis yang memakai tudung yang labuh hingga ke paras punggung kesemuanya, sedang berjalan sambil galak bercerita.

Jarak antara mereka tidaklah terlau jauh dan tidak terlalu dekat. Sempat juga Syakir menangkap beberapa butir bicara mereka itu.

"Kita nak pergi makan kat mana ni?" tanya salah seorang gadis yang memakai pashmina labuh berwarna coklat.

"Entah. Mana tempat yang best hah?" soal gadis yang lain pula.

"Aku tak pernah pun makan kat area sini. Habis tu, kita nak tanya siapa ni?" suara gadis yang berada di tengah-tengah kumpulan itu membuatkan Fakhrur sedikit tersentak. Sungguh, dia kenal dengan pemilik suara itu. Syakir pula tiba-tiba sahaja melajukan langkah kakinya membuatkan Fakhrur tidak sempat menahan dan hanya mampu menurut.

Syakir menyapa kelapan-lapan orang gadis itu dengan salam. Mereka semua tersenyum manis kecuali Humaira' seorang sahaja yang agak terkedu melihat kehadiran Syakir. 'Ni bukan ke kawan 'dia' tu? Kalau kawan 'dia' ada kat sini, maknanya...' sedang Humaira' berkira-kira sendiri dalam hati, wajah Fakhrur sudah terpamer dihadapannya. Tepat sekali tekaan Humaira' kali ini. Hampir sahaja dia menepuk dahinya sendiri apabila melihat Fakhrur sedang tersenyum simpul ke arahnya. Akhirnya Humaira' ambil keputusan untuk tampal senyum plastik di bibirnya.

Sedang Humaira' bertarung dengan hatinya sendiri, ternyata rakan-rakan usrahnya sudahpun menentukan restoran yang akan dilawati dengan bantuan dan panduan dari Syakir. Hakikatnya, Humaira' sendiri yang memberi cadangan untuk berusrah sambil menjamu selera. Dia yang beria-ia mahu mengadakan jamuan makan ini. Dia yang bersungguh-sungguh memujuk rakan-rakannya. Katanya supaya usrah dapat berjalan dengan lebih santai dan tidak bosan. Namun, sekarang dia menangisi keputusannya sendiri. Hatinya terasa amat cuak. Terlalu cuak.

Senyuman Fakhrur yang masih belum pudar itu membuatkannya jadi serba salah. Balas senyuman itu pun salah, tidak balas juga tetap salah. 

"Ok lah. Thanks for the info. Kitorang gerak dulu. Assalamualaikum," kata-kata Maya itu membuatkan Humaira' seakan-akan baru kembali ke dunia yang nyata. Humaira' turut membuka langkah seiring dengan rakan-rakannya, meninggalkan Fakhrur dan Syakir dibelakang.

"Wey! Dah la. Jom!" Ajak Syakir sambil memaut bahu Fakhrur. Fakhrur tidak sedikit pun membantah dan hanya membiarkan sahabatnya itu 'mengheret'nya. 'Ya Allah... Dah angau sangat ke aku ni?' desis hati kecilnya.


--------------------------------


Malam itu, Fakhrur tersedar dari tidur. Jam dinding biliknya sudah menunjukkan ke arah angka tiga. Tanpa berlengah, dia bangkit menuju ke bilik air. Usai berwudhuk, dia menghampar sejadah. Satu persatu solat sunat dia kerjakan dalam keadaan tenang, termasuk solat sunat Istikharah. Selesai solat, tangannya ditadah memohon petunjuk dari Ilahi. Dia sudah tidak mampu menunggu lebih lama lagi. Hatinya semakin hari semakin kalah dengan bisikan syaitan.

"Kalau kau betul-betul serius, kau buatlah dengan cara yang baik. Bukan macam ni. Lagipun, aku tahu kau lebih arif dalam soal ni. Takkan la bila dah kena batang hidung sendiri, kau jadi macam ni pulak?" kata-kata Syakir siang tadi berlegar-legar lagi di benaknya malam itu.


--------------------------------


"Humaira'!" laungan keras itu membuatkan langkah kaki Humaira' terhenti serta merta. Sepantas kilat dia menolehkan kepalanya ke arah belakang. Susuk tubuh Irham yang kini sedang berdiri dihadapannya membuatkannya lebih kaget. Matanya membulat.

"Ada apa ni?" soal Humaira', melihatkan keadaan Irham yang tercungap-cungap seperti baru selesai marathon itu.

"Kau, kalau jalan tu, boleh tak perlahan sikit? Penat aku nak kejar, tau..." Omel Irham agak tersekat-sekat. Humaira' hanya mampu mengangkat sebelah keningnya. 'Eh?aku pulak yang salah...?'

"Aku nak cakap sikit dengan kau. Ikut aku kejap," Pinta Irham setelah hembusan nafasnya kembali normal. Lantas, dia memaut pergelangan tangan Humaira' , namun sepantas kilat ditepis kasar oleh gadis itu . 

"Hey, you! Jangan Sentuh ... !" Jeritan kecil Humaira' terhenti setakat itu.

"Ok. Ok. Sorry, tapi..." belum sempat Irham menghabiskan ayatnya, kelibat Wawa muncul dari hujung koridor. Irham jadi gelabah. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai hujung tudung bulat Humaira' , lalu menariknya dengan kuat sehingga kepala Humaira' terteleng 90 darjah. Erangan Humaira' langsung tidak diendahkannya, malah dia terus mengheret gadis itu ke salah satu lorong yang berada di sepanjang koridor itu.

Hampir sahaja Irham mahu menekup mulut Humaira' dengan tangan kirinya. Tetapi hajatnya itu dibatalkan lalu tangannya dilarikan dari wajah Humaira' dan jari telunjuknya diletakkan kemas-kemas di bibir merahnya.

"Shhh...!"

"Eh, kau ni dah kenapa?" bisik Humaira' keras. "Sakit kepala aku,tau tak?"

"Shhh...!!!" hanya bunyi itu yang keluar dari mulut Irham sebagai jawapan.

Sesaat kemudian, kelihatan Wawa melintasi lorong itu dengan tenang tanpa mengetahui tentang kehadiran Irham dan Humaira' yang berada betul-betul bersebelahan dengannya ketika itu. Lalu tanpa menoleh ke arah kanannya, Wawa terus memanjat tangga untuk ke tingkat tiga. Sesudah itu, barulah Irham akhirnya melepaskan nafas kelegaan. Begitu juga dengan Humaira'.

"Kenapa kau takut sangat dengan girlfriend kau tu, hah?"

"Bukan takut la... Aku tengah tak ada mood nak hadap muka perempuan tu,"

"Habis tu? Yang kau heret aku sampai senget tudung ni, kenapa pulak?" perli Humaira' sambil membetulkan tudungnya yang herot berot itu.

"Aku... Aku..."
Humaira' mengangkat keningnya, meminta penjelasan yang lebih lanjut. 'Tadi bukan main lagi tarik-tarik aku. Sekarang ni tergagap-gagap pulak!'

"Aku nak ajak kau pergi minum kejap. Ada hal nak cakap sikit," Terang Irham.

"Hal apa yang penting sangat sampai nak kena pergi minum bagai? Cakap je la kat sini," Humaira' mendesak.

"Ei... Apasal lah kau ni degil sangat, hah? Aku cakap ikut tu, ikut aje lah..." Gumam Irham geram. Serentak dengan itu, dia sekali lagi menarik hujung tudung Humaira' dan terus mengheretnya dengan muka tidak bersalah. Gadis itu terjerit kecil, lalu pantas merentap kain tudungnya sehingga terlepas dari genggaman Irham.

"Ok! Fine! Aku ikut kau!" Humaira' akhirnya mengalah. "Jangan tarik tudung aku lagi! Tak malu ke orang tengok? Macam budak-budak!" Dia mendengus buat kesekian kalinya. Pada masa yang sama, kakinya membuntuti langkah Irham dengan hati yang sebal.

Irham tersenyum kemenangan. 'Kenapalah aku jatuh cinta dengan perempuan yang suka membebel macam mak nenek ni...'

Petang itu, Irham tidak henti-henti mengajukan persoalan yang selama ini tebuku dihatinya kepada Humaira'. Entah kenapa, dia berasa sangat selesa berkongsi masalahnya bersama gadis itu. Sebuah restoran di pinggir jalan menjadi pilihan mereka untuk menghuraikan segala kemushkilan yang melanda diri Irham. Tanpa mereka sedar, sudah hampir satu jam mereka berada di restoran itu. Suasana yang tenang dan jauh dari orang-orang yang dikenali memberikan seribu kedamaian, membuatkan mereka mahu berada di situ lebih lama.


-----------------------------


Walaupun Humaira' bersungguh-sungguh menolak pelawaan Irham untuk menghantarnya pulang ke rumah, namun jejaka itu tetap berkeras. Dia yang membawa gadis itu ke sini. Jadi, sebagai lelaki, dia juga harus memastikan gadis itu selamat sampai di rumahnya kembali. 

Sedari tadi, sudah berbelas-belas kali Humaira' menilik jam dipergelangan tangannya. Jarum pendek sudah menginjak ke angka lima. Humaira' kemudiannya menjeling Irham yang kelihatan khusyuk memandu. Humaira' masih ingat, dia pernah melalui jalan ini . Malah pernah singgah di masjid yang terletak beberapa puluh meter sahaja dari kedudukannya sekarang.

'Nak cakap ke... tak nak...' Dia berkira-kira sendiri dalam hati. 'Cakap... Tak... Cakap... Tak... aduh, macamana ni?' Humaira' cuak. Kubah masjid itu sudahpun kelihatan dari jauh. Matanya dipejam rapat dan bibirnya diketap. Tanpa dia sedari, kereta Irham sudah membelok memasuki perkarangan masjid itu. Brek tangan ditarik. Irham menanggalkan tali pinggang keledarnya, lalu menoleh ke arah Humaira'.

"Kau nak turun ke tak ni?" soalnya.

"Eh, nak! Mestilah nak!" jawab Humaira' yang baru sahaja membuka kelopak matanya kembali. Laju sahaja gadis itu melangkah keluar dari kereta lalu menuju ke tempat wudhuk wanita. Irham menggeleng-geleng kepalanya perlahan. 'Nak bukak mulut suruh berhenti kat masjid pun susah ke?'

BersAMbunG........

                                                                    Go to Part 10>>

Untuk Senarai Penuh part2 dalam cerpen ni, klik >>SINI<<


Dikarang oleh: IsyaPurple

[[maystar designs]]